mcmc
Utama

Sesi Libat Urus Komuniti MADANI X NADI Bersama JAPEN Lundu

LUNDU, 7 Februari : Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Lundu hari ini mengadakan sesi libat urus ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Daerah Lundu dalam usaha menjalin kerjasama strategik demi manfaat komuniti MADANI di daerah itu.

Sesi libat urus ini bertujuan untuk merangka gerak kerja program bersama Komuniti MADANI Daerah Lundu yang akan datang yang diketuai oleh Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip.

Usaha strategik ini dilaksanakan dalam menyahut seruan kerajaan melahirkan lebih ramai orang awam yang celik IT dan cakna dengan era digitalisasi.

Di dalam program ini turut disampaikan taklimat khas daripada Pengurus NADI Lundu, Siti Amirah Mohamad Pauzi.

Amirah turut menerangkan fungsi utama NADI iaitu pemberian perkhidmatan sejagat kepada semua lapisan masyarakat.

NADI juga menyediakan pelbagai perkhidmatan pintar dan fasiliti yang berguna serta bermanfaat kepada penduduk setempat.

Antara perkhidmatan pintar yang tersedia adalah berkaitan keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan juga inisiatif kerajaan melalui modul kursus yang ditawarkan kepada semua tanpa mengira had umur.

NADI turut menawarkan pendaftaran percuma kepada orang awam yang ingin mendaftar sebagai ahli baru, di mana mereka boleh menikmati kemudahan seperti penggunaan komputer serendah RM1 sejam.

Turut hadir bersama adalah Pengurus NADI Kampung Pandan Fazila Matsah, Pengurus NADI Kampung Tanah Hitam Nur Basyirah Hashim dan Penolong Pengurus NADI Kg Biawak Errina Hanant serta kakitangan JAPEN Lundu yang lain. -TAMAT-

Disediakan oleh : Connie Lee (JAPEN Lundu)

Sumber : Facebook Jabatan Penerangan Sarawak